Dipetik dari buku ‘ 37 Kisah Kehidupan Tabi’in ‘ – Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha volume ke-2
Salamah bin Dinar
(masyhur dengan panggilan Abu Hazim al-A’raj)
Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik pergi ke tanah suci untuk menunaikan haji. Kedatangan Khalifah Sulaiman disambut oleh pemimpin dan tokoh2 ilmuan di Madinah .Walau bagaimanapun, Salamah bin Dinar, seorang hakim di Madinah dan ilmuan yang berpengaruh serta seorang imam yang dihormat, tidak ada bersama orang2 yang menziarahi dan menyambut khalifah.
Setelah selesai menyambut kesemua tetamu, Sulaiman bin Abdul Malik berkata kepada hadirin, “Jiwa ini akan berkarat, sama seperti besi jika tidak ada sesiapa yang mengingatkannya dari semasa ke semasa dan tiada sesiapa menggilap karatnya.”
Salamah bin Dinar dijemput untuk menasihatkan mereka. Apabila Salamah taba, Sulaiman menyambut dan mempersilakannya duduk berhampiran dengannya. Apabila beliau sudah duduk, Sulaiman berkata kepadanya sambil menegur tindakannya.
“Kenapa hambar sahaja, wahai Abu Hazim?”
“Apakah yang hambar, wahai Amirul Mukminin?”
“Semua orang menziarahi saya tetapi engkau tidak!!”
“Hubungan hambar hanya selepas kenal-mengenali.Sedangkan engkau tidak pernah mengenali saya sebelum ini dan saya juga tidak pernah melihat engkau. Apakah yang hambar daripada tindakan saya ini?”
Sulaiman pun memulakan soalannya.
“Wahai Abu Hazim, kenapa kita takutkan mati?”
“Sebab kita terlalu membangunkan dunia dan kita musnahkan akhirat kita. Jadi, kita tidak suka untuk keluar dari dunia yang kita bangunkan ke akhirat yang kita telah musnahkan.”
“Siapakah pula orang yang paling pintar?”
“Orang yang mengetahui cara untuk mentaati Allah kemudian dia mengamalkannya dan kemudian dia membimbing orang lain untuk mengamalkannya.”
“Siapakah pula manusia yang paling bodoh?”
“Orang yang menurut kemahuan sahabatnya sedangkan sahabatnya itu zalim. Dia mempertaruhkan akhiratnya semata-mata demi dunia orang lain.”
Dalam kisah yang lain, Abdul Rahman bin Jarir dating bersama anaknya menemui Abu Hazim. Abdul Rahman bin Jarir pun memulakan bicara.
“Bagaimana kita mampu membuka hati ini?”
“Apabila jiwa ini dibersihkan, segala dosa-dosa akan diampunkan. Apabila seorang hamba berazam untuk meninggalkan dosanya, akan terbukalah pintu hatinya. Wahai Abdul Rahman, jangan lupa walau sekecil mana sekalipun dunia ini, ia akan melalaikan kita daripada akhirat. Setiap nikmat yang tidak mendekatkan kita kepada Allah sebenarnya adalah bala.”
“Engkau selalu menggalakkan kami bersyukur, wahai Abu Hazim. Apakah sebenarnya syukur itu?”
“Setiap anggota yang kita miliki ini mewajibkan kita supaya bersyukur.”
“Apakah kesyukuran mata ini?”
“Jika dengan mata ini engkau melihat kebaikan nyatakanlah ia. Jika dengan mata ini engkau melihat keburukan sembunyikanlah ia.”
“Apakah pula kesyukuran telinga ini?”
“Jika dengan telinga ini engkau mendengar kebaikan peliharalah ia. Jika dengan telinga ini engkau terdengar keburukan kuburkanlah ia.”
“Apakah kesyukuran dengan tangan ini?”
“Jangan engkau gunakan tangan ini untuk mengambil sesuatu yang bukan hakmu dan jangan engkau gunakan tangan ini untuk menghalang hak Allah.Engkau jangan lupa wahai Abdul Rahman, orang yang hanya bersyukur dengan lidahnya tanpa disertai oleh anggota-anggota dan hatinya yang lain, dia sebenarnya umpama orang yang mempunyai pakaian tetapi hanya memegang tidak memakainya. Pakaiannya tidak mampu memelihara badannya daripada panas ataupun sejuk.”
untuk full version, bacalah buku tu ek!